Isnin, 15 Ogos 2011

Modul Buku Kerja


Modul praktis yang memenuhi kehendak guru dan pelajar tingkatan 1 segera dapatkan di pasaran kini. Saya sekadar mahu berkongsi dengan rakan-rakan warga pendidik dan anak-anak didik yang dahagakan kecemerlangan dalam subjek Bahasa Melayu. Di samping berpadu minda untuk memartabatkan bahasa Melayu, sekali gus saya memuatkan latihan-latihan mirip peperiksaan PMR yang saya kira menepati format dan piawaian yang dikehendaki, Insya-Allah. Jika terdapat kekurangan di mana-mana, mohon maaf banyak-banyak kerana sesungguhnya saya manusia biasa yang tidak lari daripada kesilapan. Ampun beribu-ribu ampun...


Pengemis Kata

pengemis kata
berkelana
di pinggir jalan
mengemis cerita

sambil menadah rezeki kata
kadang sepatah dua
kadang sebaris cuma
kadang panjang berjela
kadang serangkap dua
kadang beberapa perenggan
menjadi wacana yang indah dan kaya

sambil melilau mata
menyorot ragam manusia
yang pelbagai ceritera
kadang mengumpul kotak duka
kadang mengumpul kotak suka
untuk diganti dengan nukilan rasa
akhirnya,
pelbagai rancu cerita
digarap di medan ilham pena
berdakwatkan rezeki kata

kita adalah pengemis
yang meminta-minta
dari Ar-Rauf yang kaya
untuk melengkapkan cerita
buat pedoman manusia.

Ogos 2011

Rabu, 26 Mei 2010

Kisah Pelaut dan Penulis

Kisah Pelaut dan Penulis

Pelaut bertemu penulis
pelaut menangis
kerna
cerita lautnya dihiris
oleh belati penulis

Begitu tajam pena kata-kata diasah
menikam perasaan bersalah
mengkhianati penulis yang pasrah
menerima takdir untuk berpisah

Penulis bertemu pelaut
penulis kalut
kerna
dahan cinta kembali berpaut
ia tahu mengundang kalut
tapi hatinya masih tersangkut
menagih harap dari pelaut
nurbisa menjemput.

Reda penulis terima takdir
cinta terlarang cuba diusir
nuraga hati kian terpinggir
Ijab kabul memaknakan zahir.

Zulaiha Paikon
PPJ
Mei 2010